KUALA LUMPUR 1 NOV : Barisan Nasional (BN) Sarawak dilaporkan berura-ura mahu membentangkan usul bagi membanteras politik pembangkang yang disifatkan sebagai 'kotor', pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula hari ini.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum diketahui sama ada usul tersebut sudah dibentangkan atau belum pada persidangan DUN ke-16 negeri berkenaan siang tadi.
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang pernah terlibat dalam rampasan kuasa Umno-BN di Perak sebelum ini berkata, tindakan BN Sarawak itu jelas membuktikan bahawa parti pemerintah itu tidak bersikap telus dan matang dalam berpolitik.
" Saya rasa ini tindakan yang tidak menunjukkan kematangan bersidang oleh kerana mereka cuba menutup mulut-mulut pembangkang ini oleh usul yang mereka tahu sudah tentunya boleh menang kerana mereka ada majoriti. Di Perak juga kami mengalami perkara yang sama", katanya kepada Tv Selangor ketika di temui di lobi parlimen hari ini.
BN, ujarnya takut dengan bayang-bayang sendiri dan berada di dalam ketakutan sekiranya tembelang mereka pecah di mata rakyat sepertimana yang berlaku di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri di beberapa buah negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Bernama semalam melaporkan, Speaker Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, usul berkenaan akan dibentangkan oleh Ketua Kelab Penyokong BN Negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) dan disokong oleh Andy Chia (BN-Pujut).
"Satu amalan yang tidak mencerminkan ruang demokrasi dan sikap keterbukaan itu sendiri. Sudah tentu salah satu niat daripada itu kerana mereka khuatir kerana kalau mereka tidak berbuat begitu, rakyat akan melihat hujah masing-masing sepertimana yang kita dapat lihat dalam Dewan Rakyat hari ini. Mereka cuba secepat mungkin untuk menyiapkan atau membaca segala perkara yang hendak dijawab", kata Nizar lagi.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, parti ujarnya telah mengenalpasti beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang di'takuti' oleh BN Sarawak sehingga timbulnya idea untuk membentangkan usul berkenaan.
Menurut Azan, mereka merupakan pemimpin yang cukup lantang memberikan kritikan yang membina sehingga mengundang rasa kurang senang di kalangan ADUN-ADUN BN Sarawak.
" Dewan sama ada Dewan Negara mahupun negeri adalah tenmpat di mana undang-undang digubal, undang-undang diformulasikan. Sudah tentu perbincangan dibuka seluas-luasnya. Maka undang-undang yang diwartakan itu nanti merupakan satu undang-undang yang telah dibahas begitu rapi.
" Sekiranya terdapat satu usul yang bertujuan menyekat kebebasan atau menyekat meluasnya perbahasan, ini boleh dilihat sebagai tindakan "unparliamentary" iaitu yang tidak sejajar dengan status parlimen mahupun dewan, kalau di peringkat negeri pula, usaha yang dibuat tidak setaraf dengan kemulian dewan itu", ujar Azan lagi.
Azan juga turut memberikan nasihat kepada mana-mana ADUN mahupun Ahli Parlimen supaya memelihara kemuliaan Dewan Rakyat mahupun DUN, bukan sahaja dengan tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika berhujah tetapi juga dengan menghormati hak orang lain untuk menyampaikan idea mahupun hujah dalam merangka sesebuah undang-undang.
" Saya memberi teguran sekiranya ada usaha-usaha seperti ini haruslah diberhentikan kerana pemimpin boleh datang dan pergi tetapi institusi dewan itu sama ada Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri harus kekal sebagai mana negara mengekalkan kedaulatan undang-undang negara selagi itulah kuasa dewan hendaklah dipertahankan",kata Azan lagi.
Home »
» BN Sarawak Cadang Usul Sekat Aktiviti Pembangkang
BN Sarawak Cadang Usul Sekat Aktiviti Pembangkang
Written By canang on Selasa, 2 November 2010 | 11/02/2010 10:30:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan