Home »
» Bayaran saman ekor boleh dipulang?
Bayaran saman ekor boleh dipulang?
Written By canang on Selasa, 29 Mac 2011 | 3/29/2011 06:00:00 PTG
Alangkah sengsaranya orang yang dikenakan saman ekor untuk menjelaskan beban yang dikenakan kepada pada hari akhir ia perlu dijelaskan bagi mendapatkan kemudahan separuh denda.
Setiap satu saman dikenakan denda RM300. bagi menunjukkan kerajaan bermurah hati maka diberi tawaran membayar separuh denda saja sehingga minit terakhir bulan Februari 2011.
Saman yang perlu diselesaikan itu bukan sekadar memandu lebih dari had laju yang ditetapkan tetapi melibatkan berbagai kesalahan lalulintas termasuk saman tidak menjelaskan pakir kereta di majlis bandaran tertentu. Ada yang tertonggak lebih seuluh tahun lalu.
Ada orang yang terlibat dalam berbelas saman. Jika ia tidak dijelaskan pada hari 28 Febuari lalu, maka mereka tidak boleh membaharui cukai jalan. Mahu tidak mahu, baik senang atau susah, ia terpaksa dibayar.
Sekalian yang menyerbu pusat membayar saman dua tiga hari sebelum tamat tempoh bayaran saman separuh itu terasa perit dan amat payahnya bagi menjelaskan beban itu. Ia tidaklah seperit yang dialami oleh pelarian warga asing dari Libya untuk mendapat perlindungan di sempadan Tunisia, tetapi ia ada satu ujian kesabaran.
Manusia seluruhnya yang tidak sunyi dari dosa akan teruji dan sengsara yang tidak terkira menunggu waktu diadili di hari mahsyar sehinggalah datang Rasulullah memberi syafaat. Apa yang dihadapi di pusat membayar saman tiada apa-apa dibandingkan dengan deraan di alam mahsyar, tetapi ia adalah satu deraan dari kerajaan untuk rakyatnya.
Manusia tiada hak untuk membantah pehit di hari mahsyar. Tetapi rakyat ada asas dan hak untuk membantah dera saman ekor itu, tetapi mereka tidak diberi hak sama dengan tiadanya hak membantah di hari mahsyar.
Pakatan Rakyat menyokong jawatankuasa yang ditubuhkan PAS yang dipengerusikan oleh Datuk Mahfuz Omar membantah saman ekor itu berdasar ada saman seperti itu telah ditolak oleh mahkamah, dan orang yang disaman belum tentu bersalah selagi tidak disahkan bersalah oleh mahkamah.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong tuntutan jawatankuasa Mahfuz itu supaya semua saman itu dibatalkan, setiap yang mohon membaharui cukai jalan dibenarkan.
Mahfuz membuat anjuran yang menasabah supaya mangsa saman tidak menjelaskan saman itu. Tetapi masalah akan bertambah payah kiranya saman itu tidak dijelaskan kerana cukai jalan tidak dapat dibaharui. Memandu tanpa cukai memandu menjadi satu kesalahan lagi.
JPJ dan kerajaan menyumbat telinga tidak mendengar bantahan dari mangsa menahan jerat di tempat genting. Bantahan itu ada asasnya.
Maka Presiden PAS membuat tawaran kepada pemilik kenderaan, kiranya Pakatan dapat menguasai Putrajaya, maka saman ekor akan dimansuhkan. Saman separuh itu dilanturkan hingga 10 Mac. Lepas itu saman ekor masih berterusan. Dendanya tetap RM300 atas satu saman.
Jika Pakatan berkuasa saman ekor tidak ada lagi. Tetapi rakyat tetap menanggung beban deraan kerajaan BN itu hingga hari PRU 13. Berjuta-juta duit rakyat disapu oleh kerajaan.
Tindakan kerajaan itu sama seperti anak-anak raja zaman dulu, apabila mereka tidak ada duit, maka mereka mengadakan sekatan di jalan lalu lintas, mengenakan cukai bagi yang melaluinya. Itulah yang diperi bahasakan menahan jepat di tempat genting atau menahan lokah di pergentingan.
Pakatan telah membuat polisi akan membatalkan saman ekor. Tetapi bagaimana dengan berjuta ringgit yang telah disapu oleh kerajaan menjelang hari ujian 28 Februari lalu dan hari-hari selepas itu hingga PRU 13?
Bagaimana dengan korban yang ditanggung fakyat itu?
Tidak berbangkit Pakatan mempolitikkan isu itu. Apa yang Pakatan buat ia satu tawaran membela rakyat dari penindasan menahan jerat di tempat genting. Ia cara mudah bagi kerajaan mendapatkan duit dari poket rakyat.
Rakyat tiada pilihan terpaksa menjelaskan beban dan deraan itu bagi membolehkan membaharui cukai jalan hingga hari PRU 13 nanti. Sama ada mereka ada duit atau tidak mereka terpaksa membayar saman ekor jika mahu motokar bergerak.
Tidak menabah mngajar orang ke jalan raya seperti di Mesir dan di Libya atas kezaliman saman ekor itu. Apa yang Pakatan boleh buat bagi membela rakyat yang diperas ugut itu mendapatkan wangnya semula?
Bagaiman kalau Pakatan menjadikan ia sebagai satu polisi yang berjalan serta merta? Orang yang disaman terpaksa bergada bergolok menyelesaikan saman itu. Amat malang kalau mencari bantuan Along bagi memenuhi beban itu.
Apa kata kalau Pakatan berjanji kiranya ia berjaya mengambil Putrajaya, maka segala denda itu akan dipulangkan, sama ada saman itu dipulangkan melalui tuntutan dengan menunjukkan resit saman itu atau diselesaikan dengan cara dijadikan bayaran cukai jalan apabila membaharui cukai jalan kelak.
Orang yang membayar saman mestilah menyimpan resit bayaran saman supaya dikembarkan ketika membuat tuntutan nanti. Pastikan resit itu jangan dibuang.
Ia adalah satu cadangan yang munasabah kepada Pakatan Rakyat. Ia adalah satu sikap yang selari dengan dasar yang dikemukakan oleh Mahfuz yang minta supaya saman itu dibatalkan atau mangsa tidak menjelaskannya.
Ia juga selari dengan dasar yang dibuat oleh Tok Guru Haji Abdul Hadi bahawa saman ekor akan dibatalkan bila Putrajaya dikuasai Pakatan. Cuma tawaran itu boleh buat lebih awal, semua denda saman ekor yang dijelaskan akan dipulangkan semula apabila rakyat memberi mandat untuk mentadbir Putrajaya.
Ia boleh dimasukkan dalam Buku Jingga.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan