KUCHING 6 APRIL : Tidak ramai akan menyanggah pendapat bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud arif mengenai apa yang diperlukan untuk memenangi mana-mana pilihanraya di Sarawak baik di peringkat negeri mahupun parlimen.
Rekod beliau dalam tempoh 30 tahun yang lalu sudah cukup menyakinkan.
Malah berita hari ini menantu Taib menuntut waran tangkap terhadap anak Ketua Menteri itu bersabit tuntutan fasakh RM400 juta tidak banyak memberi kesan kepada tokoh veteran itu apabila kempen pilihanraya negeri ke –10 Sarawak bermula secara rasmi tengah hari tadi.
Kelainan kali ini, berpaksi kepada keyakinan ” tinggi dan berisi” pembangkang untuk membuat kejutan, kalau pun bukan menawan Sarawak sekali gus, sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga kepada Taib.
Keputusan pilihanraya Sarawak mencemaskan Putrajaya, yang gagal memujuk Taib untuk berundur bagi meredakan kemarahan rakyat mengenai gaya hidup dan kepentingan perniagaan keluarga beliau di dalam dan luar Sarawak.
Tuntutan fasakh sebanyak RM400 juta oleh menantu beliau membuka jendela kepada rakyat untuk mengetahui harga yang dimiliki oleh anak Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekri Abdul Majid. Perceraian itu menjadi bahan perbualan di Sarawak dan juga Semenanjung.
Petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpaksa akur dengan keinginan Taib terus memimpin Sarawak, akan terus ke Kuching bagi memperkuatkan kempen BN, selepas lawatan rasmi ke Korea Selatan.
Kehadiran beliau bersama hampir seluruh jemaah menteri dan ratusan pekerja Umno dan BN dari Semenanjung mencerminkan keresahan Putrajaya dalam memastikan kemenangan mutlak untuk BN sekali lagi.
Sekali imbas, tidak ada banyak beza pada pilihanraya kali ini berbanding masa-masa lalu. Limpahan peruntukan diberikan kepada mana-mana pihak sekolah Cina, gereja dan sebagainya, dan akan ditambah serta dilipatgandakan sehingga pilihanraya pada 16 April ini.
Penguasaan media arus perdana diperketatkan manakala segala pengangkutan untuk menyampai mesej-mesej ke rumah panjang juga di bolot oleh BN untuk menyempit dan mengekang jentera kempen pembangkang.
Apabila proses penamaan calon berakhir petang tadi, Pakatan Rakyat sekali lagi mendapati ia terpaksa berdepan dengan pelbagai calon bebas dan parti lain selain bersaing dengan seteru utamanya BN.
Justeru cabaran yang amat sengit menanti Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS yang merangkumi Pakatan Rakyat.
Namun apa yang nyata, Pakatan Rakyat tidak kelihatan getir dengan cabaran ini sungguhpun perselisihan mengenai pengagihan kerusi dengan SNAP diperbesarkan oleh media arus perdana.
Begitu juga dengan tindakan satu-satu ADUN PKR Dominique Ng untuk keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas apabila tidak dikekalkan oleh PKR mempertahankan kerusi Padungan.
Keyakinan Pakatan bersandar kepada keresahan rakyat di bandar dan luar bandar terhadap pemerintahan Taib dan segala keboborukan yang dikaitkan dengan pemerintahannya.
BN pimpinan Taib akan bertanding di kesemua 71 kerusi setelah menguasai 63 kerusi dalam DUN Sarawak.
DAP memegang enam kerusi dan akan bertanding di 15 manakala PKR akan bersaing di 49 kerusi.
Sebarang kemenangan yang melebihi 15 kerusi untuk Pakatan Rakyat di lihat akan menghantar mesej yang tajam kepada Taib untuk berundur dengan segera.
Lebih penting ia akan memberi amaran jelas kepada Najib bahawa rakyat semakin mara menuntut perubahan total dan “fixed deposit” BN di Sabah dan Sarawak semakin goyah.
Tidak dapat dinafikan, api kemarahan rakyat Sarawak terhadap Taib Mahmud memang membara tanya saja kepada penduduk asal yang hilang tanah adat dan peniaga yang terpaksa bersaing dengan ahli keluarga Taib untuk mendapatkan kontrak.
Tanya sahaja kepada ratusan ribu penduduk Sarawak yang masih tanpa api dan air, jalanraya dan kemudahan asas lain walaupun 50 tahun negeri mereka dibebaskan dari penjajah British.
Cabaran paling besar untuk Pakatan Rakyat ialah bagaimana untuk menterjemahkan kemarahan ini kepada undi untuk gagasan itu.
Peluang Pakatan juga bergantung kepada keupayaan menyakinkan rakyat Sarawak bahawa negeri Selangor dan Pulau Pinang adalah contoh jelas gagasan itu mampu mentadbir secara berwibawa untuk kebaikan rakyat.
Hari-hari berikut akan menentukan sejauh masa Pakatan Rakyat berjaya mendokong kedua-dua misi ini untuk merebut peluang “emas” menamatkan pemerintahan Taib dan Barisan Nasional di Sarawak.
Home »
» P'raya Sarawak : Taib Yakin Menang, PR Yakin Buat Kejutan
P'raya Sarawak : Taib Yakin Menang, PR Yakin Buat Kejutan
Written By canang on Khamis, 7 April 2011 | 4/07/2011 11:30:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan