Home » » 2 Julai pra himpunan aman Bersih 2.0

2 Julai pra himpunan aman Bersih 2.0

Written By canang on Rabu, 22 Jun 2011 | 6/22/2011 10:30:00 PTG

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebagai suatu usaha menyahut seruan himpunan aman Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini di ibu kota, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai ini sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 yang berwarna kuning.

Katanya, ia sebagai warm up (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

“Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai ini tidak perlu diadakan sebarang himpunan, cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan aman ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak.

“Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2 Julai 2011 ini. Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0,” ujarnya.

Jelasnya, rasional seruan itu adalah sebagai warm up (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0.

Tambahnya, ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan aman nanti dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang.

Ini juga, ujarnya membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan aman Bersih 2.0 adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara.

Selain itu, katanya 2 Julai sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan itu.

“Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai nanti adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger