PRU-13: Tiada dua pertiga di Perak
BN merupakan pihak yang menanggung risiko terbesar dalam PRU-13 nanti akibat daripada peristiwa yang dianggap PR sebagai rampasan kuasa yang tidak sah itu.
Setelah negara dilanda tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) lalu, tidak mudah untuk mencongak percaturan pengundi negara ini dalam PRU-13 nanti lebih-lebih lagi bagi sebuah kerajaan negeri yang begitu cepat bertukar tangan seperti yang berlaku di Perak Darul Ridzuan.
Kejutan tsunami PRU-12 lalu tidak berhenti setakat itu sahaja, malah ia turut membawa kepada satu lagi kejutan; kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Perak kehilangan kuasa kepada Barisan Nasional (BN) setelah hanya 10 bulan berkuasa tentunya memberi kesan terhadap keputusan PRU-13 nanti.
Ketika parti-parti politik sedang giat mempersiapkan jentera pilihan raya mereka bagi menghadapi pilihan raya nanti, BN merupakan pihak yang menanggung risiko terbesar dalam PRU-13 nanti akibat daripada peristiwa yang dianggap PR sebagai rampasan kuasa yang tidak sah itu.
Kegagalan BN mempertahankan tampuk kuasa negeri Perak dalam PRU-13 nanti bukan sahaja merupakan satu tamparan buat BN malahan turut menjejaskan imej pihak-pihak bertanggungjawab dalam membuat beberapa keputusan ketika mengendalikan isu yang dianggap krisis perlembagaan negeri itu.
Kegagalan BN dalam PRU-13 nanti bakal mencerminkan tindakan merampas kuasa dan keputusan pihak bertanggungjawab ketika itu sebagai membelakangkan aspirasi rakyat Perak khususnya kegagalan mengembalikan mandat memilih kepada rakyat negeri itu seperti mana yang telah dituntut oleh PR.
Apatah lagi proses ‘rampasan kuasa’ yang berlaku ketika itu tidak ‘solid’ – mempunyai banyak ruang-ruang lompong yang boleh diperdebatkan oleh mana-mana pihak dari golongan petani hinggalah kepada ahli akademik yang dianggap pakar perlembagaan.
Sebaliknya, meskipun kejayaan PR dalam PRU-12 lalu hanyalah melalui kemenangan tipis, nyata ianya satu kemenangan yang sah, tidak mampu dipertikaikan oleh pihak lawan mahupun pakar perundangan dalam negara ini dan ianya adalah fakta.
Umumnya juga lebih gemar menilai kontroversi ‘rampasan kuasa’ yang berlaku tersebut akhirnya lebih menonjolkan PR sebagai pihak yang dianiaya oleh satu lagi di pihak yang lain.
Prestasi jadi ukuran
Ketika bakal pengundi dalam PRU-13 nanti menilai semula prestasi kedua-dua parti menerajui kerajaan negeri, tentulah tidak adil bagi mempertikaikan kemampuan PR ketika 10 bulan lapan hari meneraju kerajaan negeri untuk dibandingkan dengan lebih setengah abad BN.
Sebaliknya kemampuan BN dengan rekod 53 tahun pengalaman mentadbir kerajaan boleh dianggap memalukan sekiranya kemampuan mereka mampu disaingi dengan 10 bulan pentadbiran PR lebih-lebih lagi kemampuan mereka menangani isu-isu lama peninggalan BN.
Setelah lebih dua tahun menerajui kerajaan negeri, prestasi Menteri Besar (MB) BN, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir juga kelihatan sedikit ditenggelami oleh aura MB PR sebelumnya, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ketika menerajui kerajaan negeri.
Meskipun BN Perak dibungkuskan oleh PR dalam PRU-12 lalu, tidak banyak tindakan drastik yang diambil oleh BN negeri apabila kembali menguasai tampuk kuasa kerajaan negeri hingga ke hari ini.
Beberapa tindakan kerajaan negeri di bawah Nizar termasuk memberi geran tanah kepada penduduk Cina di kampung baru, masyarakat Melayu di kampung tersusun dan masyarakat India sedikit sebanyak menyukarkan kerja pemutihan oleh BN.
Bagaimanapun isu pemberian geran tanah ini juga bakal dijadikan modal politik BN sekaligus melabelkan Nizar sebagai boneka kepada DAP bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
Harapan terbaik BN Perak pada masa ini ialah mengharapkan corak pengundian masyarakat Melayu kembali kepada mereka seperti yang berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Sekalipun BN Perak kembali beroleh kemenangan dalam PRU-13 nanti, peluang mereka untuk menang selesa dengan menguasai majoriti dua pertiga di Dun negeri ini amatlah tipis.
Undi masyarakat Cina
Kemampuan BN untuk meraih sokongan majoriti masyarakat Cina negeri itu dalam PRU-13 nanti juga diragui memandangkan tiada usaha konkrit yang dijalankan BN negeri bagi ‘memujuk’ golongan masyarakat tersebut.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan beberapa pemimpin Umno yang dilihat kurang bijak mengambil hati masyarakat Cina termasuk sikap beberapa pemimpin Umno dan MCA yang lebih gemar bercakaran sesama sendiri lebih-lebih lagi di peringkat pusat.
Selain itu, dengan cuma mengharapkan kejayaan BN Terengganu merampas semula pentadbiran kerajaan negeri itu dalam PRU-11 setelah tewas dalam PRU sebelumnya berulang di Perak masih tidak memadai untuk menjamin kemenangan BN Perak.
Walaupun kekuatan BN Perak tidaklah sekuat ketika PRU-11, ia belum cukup untuk memberi laluan mudah bagi PR negeri itu dalam PRU-13 nanti.
PAS dan PKR juga tidak boleh terlalu mengharapkan kekuatan DAP yang dilihat sebagai parti paling dominan dalam blok pembangkang negeri itu.
Sekali lagi kesilapan memilih calon pilihan raya yang tidak mempunyai integriti dan kredibiliti bakal memberi padah kepada PR bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat pusat.
Mengenal pasti pemimpin ‘musang berbulu ayam’ khususnya di kalangan ahli PKR yang sedang memasang angan-angan agar terpilih sebagai calon pilihan raya harus dititik beratkan pada masa ini.
Sekurang-kurangnya senario yang ada pada hari ini, mana-mana pihak yang menjadi ‘johan’ di Dun Perak dalam PRU-13 nanti dikatakan hampir pasti gagal memperolehi dua pertiga majoriti kerusi, tidak kira samada BN mahupun PR. -FMT
Home »
» Menjelang PRU13 - UMNO BN Lebih Tertekan Di Perak
Menjelang PRU13 - UMNO BN Lebih Tertekan Di Perak
Written By canang on Rabu, 29 Jun 2011 | 6/29/2011 05:00:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan