Home »
» TAMAR JALIS PENGARANG SIRI BERCAKAP DENGAN JIN MENAMPILKAN DIRI
TAMAR JALIS PENGARANG SIRI BERCAKAP DENGAN JIN MENAMPILKAN DIRI
Written By canang on Jumaat, 24 Jun 2011 | 6/24/2011 01:00:00 PTG
20 Jun 2011 khalayak seni berkumpul lebih 8 jam di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak di Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Pertemuan ini yang dihadiri lebih kurang 500 peminat sastera tanahair – dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan, adalah bagi mengikuti Wacana Siri Bercakap Dengan Jin dan mengenali penulisnya yang selama ini – selama 30 tahun berdiam dan tidak pernah mendedahkan dirinya yang sebenar! Pertemuan ini berakhir lebih kurang jam 6.30 petang, namun darinya bercambah selingkar fikir yang tiada hentinya.
Tahniah kepada Persatuan Karyawan Perak yang telah mengenengahkan Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) sebagai karya kreatif Melayu tersohor. Pembentang kertas kerja telah membenarkan dan memperakukan bahawa karya yang telah digarap dan bersiaran paling lama dalam majalah – selama 23 tahun 6 bulan – mengandungi 284 siri, telah dibukukan dalam 16 jilidan dan dicetak serta dijual melebihi sejuta naskhah! Haji Zabidin Haji Ismail (Presiden Persatuan Karyawan Perak), Mohamad Paris Arshad (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Dr Bazrul Bahaman (UPSI), Dr Shaharudin Shaari (Pensyarah Institut Pendidikan Guru Hulu Kinta), Prof Madya Dr Talib Samat (UPSI), Dr Mohd Affandy Yusof (USM) – sekadar menyebut beberapa nama, semuanya mengakui bahawa SBDJ adalah sebuah karya yang hebat. Ianya bukan sekadar garapan kisah misteri alam bunian dan jin, tetapi ia berpaksi kepada ketuhanan yang maha esa dalam menyoroti kisah benar kehidupan dan sejarah bangsa Melayu dalam pengembaraan yang penuh dengan falsafah, psikologi sosio budaya, petua, perubatan tradisional, seni persilatan, kebatinan dan perburuan.
Presiden Persatuan Karyawan Perak dalam nukilannya pada buku cenderamata, mengatakan: Karya ini (SBDJ) digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan persitiwa melalui ‘orang pertama’ iaitu Tamar Jalis bersama ‘datuk’nya Kulup Muhamad Diah atau Long Mat Piah. Setinggi-tinggi tahniah perlu diberikan kepada presiden KARYAWAN PK, Haji Zabidin Haji Ismail yang kerana usahanya sejak lebih 10 tahun lalu, berjaya menyakinkan penulis yang selama ini berselindung di sebalik nama Tamar Jalis, mahu dan bersedia menampilkan diri di khalayak peminat. Tamar Jalis analah nama pena bagi Ahmad Mahmud, seorang penulis kelahiran Beruas, Perak. Penulis ini juga biasa berselindung disebalik nama Ramadan A.M. dan Atma A.M. Saya biasa berkesempatan menyaksikan dan menemani Tamar Jalis menulis Siri Bercakap Dengan Jin. Siri cerita ini telah berjaya meningkatkan jualan Majalah Variasari sehingga 120 ribu naskhah sebulan pada tahun-tahun pertengahan 1980-an. Pada ketika itu lagi, ruangan Cakap Apa Saja majalah berkenaan sering menyiarkan permintaan agar Tamar Jalis mahu menampilkan diri. Tamar Jalis menulis kerana dunianya adalah menulis. Dalam tulisannya, dakwah adalah pengisian dan jati diri bangsanya sebagai Melayu terlihat dalam hamparan alam Melayu termasuk dengan segala pepatah petitih dan segala macam budayanya. Tamar Jalis seorang yang diam dan tidak banyak bercakap. Sebab itu dia berjaya menyembunyikan diri buat sekian lama. Namun penampilannya kemarin adalah sangat berarti dan memberi makna kepada kesederhanaan diri seorang insan. Kalau dulu saya melihat dan biasa menemani Tamar Jalis berkarya, kemarin saya melihat nama Tamar Jalis dan diri Ahmad Mahmud dijulang.
Waktu pengacara menghebahkan bahawa SBDJ telah dijual melebihi sejuta naskhah diikuti dengan makluman bahawa Ahmad Mahmud bertugas di majalah ini sebagai Ketua Pengarang, saya dapat merasakan bahawa dia cukup berpuas hati dengan hadiah melancung dan mengerjakan umrah yang diterimanya bagi karyanya ini. Ini kesederhanaan. Alhamdulillah. Pada masa yang sama saya melihat maksud KARYAWAN PK. Persatuan ini sebenarnya bukan sahaja mahu memperkenalkan Tamar Jalis sebagai tokoh penulis yang berasal dari negeri Perak tetapi ia sebenarnya mahu mengangkat nilai karya dan karyawan itu sendiri ke persada jaya. Penulis, lebih-lebih lagi yang memulakan zamannya pada era sebelum merdeka, memang tidak pernah mengangan-angankan kemasyhuran apalagi kekayaan. Bagi mereka, cukuplah sekadar dengan menulis, asal saja menulis itu dapat memberikan kepuasan. Penulis seperti ini tidak pernah termimpi dengan sanjungan dan pujian.
Beberapa ketika dalam wacana berlangsung, Tamar Jalis membisikkan kepada saya, “Betulkah apa yang Abang Mat lalui ini, Sahak?” Ada masa dia sebut, “Abang Mat tak bermimpikah, Sahak?” Dan amat mengharukan saya bila dia menuturkan. “Abang Mat tak pernah terfikir karya Abang Mat dihargai setinggi ini!” Sebab itu saya ucap setinggi-tinggi tahniah kepada KARYAWAN PK. KARYAWAN PK berfikir merentasi dan melampaui zamannya. KARYAWAN PK melalui kegiatan seninya ini mengatakan bahawa karya seni walau bagaimana baik sekalipun jika tidak dipromosi dengan betul, karya itu akan tenggelam sia-sia sahaja. KARYAWAN PK juga amat memahami dunia mereka: orang seni tidak boleh hidup hanya dengan penghargaan dan terima kasih sebab terima kasih yang menggunung pun tidak boleh dijual bagi guna membeli kertas dan pensil untuk menulis.
Inilah realiti yang saya fikir KARYAWAN PK akui. Dan ini memanglah benar seperti benar kata Pak Samad Said (Sasterawan Negara) kepada saya suatu hari dalam tahun 1990 di kantin Tingkat 4 Bangunan KWSP Jalan Raja Laut: “Saya hidup dengan menulis. Dengan menulis saya menyara kehidupan keluarga saya. Namun saya dibayar seperti peminta sedekah. Sebab itu saya cadangkan agar Ishak mencari ilmu menjual buku sepertimana Mamak buat roti dan menjualnya sendiri. Insya-Allah suatu masa boleh menjadi penerbit dan membayar saya dengan baik agar saya dapat rasa hidup selesa seperti orang lain.” SBDJ telah ditulis sekian lama, dan sampai kini masih bersiaran di majalah yang sama. Kata Presiden KARYAWAN PK, karya ini mengungkapkan kekuatan Melayu, kehidupan Melayu, jati diri bangsa Melayu dan ianya adalah sebuah karya yang mampu berdiri sebagai karya Melayu! Saya melihat ungkapan di atas sebagai kesungguhan usaha meminta semua pihak memberi perhatian terhadap orang seni dan karyanya, sebab orang seni tak boleh hidup dan tak mampu berkarya dengan hanya terima kasih atau melancung. Orang seni perlu diberi jiwa supaya menjadi perkasa dan dapat mensesuaikan diri dengan kehidupan di masa kini! Bukanlah berlebihan jika saya katakan bahawa SBDJ mempunyai penggemar dari seluruh nusantara. Adalah benar, umum mengetahui bahawa SBDJ adalah sebuah kisah misteri. Kenyataannya, karya ini digarap tanpa henti sejak 1981. Adalah juga benar lebih sejuta naskhah telah dijual – ini tidak termasuk yang dicetak rom[pak! Sarjana mengakui, ini adalah garapan nilai hidup, budaya dan falsafah bangsa Melayu.
Dengan demikian, tidakkah cukup kekuatan untuk kita julang karya ini sehingga paling tidak satu jilidannya mampu dijadikan teks bagi pengajian sastera peringkat SPM dan STPM? Atau sebuah kajian untuk pelajar universiti? Inilah cara menghidupkan penulis. Karya besar perlu diangkat setimpal nilainya. Saya yakin, dengan sedikit suntingan teliti, senaskhah SBDJ mampu diangkat sebagai teks pengajian sastera Malaysia. Kita juga berharap, YB Dato’ Zainol Fadzi Haji Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak yang turut hadir dan berucap merasmi tutup Wacana Siri Bercakap Dengan Jin yang juga sejak sekian lama turut tersentuh dengan garapan SBDJ, akan dapat berbuat sesuatu melebihi jangkauan terima kasih sebagai perjuangan memperkasa orang seni. See more
by: Ishak Mohamad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan