Sasterawan Negara Allahyarham Dr Usman Awang atau nama penanya, Tongkat Warrant dalam puisinya bertajuk ‘Melayu’ menulis:
“Orang Melayu itu kaya falsafahnya,
Akar budi bersulamkan daya,
Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun,
Bila mengampu bijak beralas tangan.”
Itulah orang Melayu, dalam marah ada sendanya. Tetapi melihat apa yang berlaku hari ini, adakah sesetengah orang Melayu itu masih boleh digelar kuat agama, kaya adat, penuh tatasusila lagi mulia serta budiman?
Mana hilangnya sifat orang Melayu pemimpin-pemimpin kita yang hanya mementingkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kekalkan kuasa yang ada. Bagaimana kita boleh terus menerima mereka yang telah hilang kemelayuannya dan ciri-cirinya seperti digambarkan oleh Usman dalam sajaknya yang sama:
“Melayu itu berani jika bersalah,
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut,
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat, Jangan mati anak.”
Jika ini menjadi inti pati roh bangsa mana mungkin perbuatan mereka bergelar pemimpin Melayu ini boleh diterima lagi.
Adakah 15 juta orang Melayu berasa bangga dan terus memberikan mandat kepada pemimpin seperti ini yang hanya guna gelaran Melayu untuk kepentingan politik sempit serta perompakan ekonomi rakyat demi kelompok kroni mereka sendiri?
Lihat bagaimana mereka ini menggunakan adegan lucah untuk menyerang maruah orang yang bukan sahaja dituduh, malah dipertontonkan secara terbuka di semua saluran dikuasai – internet, akhbar, televisyen, bahkan juga mahkamah – untuk disaksikan anak-anak kecil dan warga emas yang sepatutnya dipelihara maruah dan rasa hormat. Siapa sebenarnya yang berterusan mencemar nama Melayu?
Bagaimana pemimpin Melayu terus mencemar dan mengotorkan maruah Melayu, yang sudah ‘kotor’ yang pernah dituduh mencabul gadis sunti atau yang rasuah politik wang dihadiahkan dengan kedudukan tinggi badan-badan kerajaan milik rakyat. Siapa sebenarnya yang berterusan mencemar nama Melayu?
Dengarlah bagaimana pemimpin Melayu dipanjangkan umur oleh Allah SWT selepas serangan jantung yang sepatutnya bersyukur dan bertaubat atas dosa-dosa lalu seperti ugutan fitnah dan kekerasan terhadap hak rakyat, terus diberikan laluan dan perlindungan undang-undang, terus bersuara curang berdegar-degar menyebarkan fitnah. Siapa sebenarnya yang berterusan merendahkan martabat Melayu?
Tanpa mengira halal atau haram menggelapkan wang rakyat beratus bilion untuk kegunaan keluarga melalui pemberian kontrak atau pembelian harta rakyat dengan harga tinggi yang tidak masuk akal terus berlaku. Siapa sebenarnya yang berterusan merompak bangsa Melayu? Berjuta-juta rakyat di’muflis’kan, sengsara dengan kos sara hidup melambung, gaji mendatar, peluang pekerjaan mengecil, hutang pendidikan dan peribadi menggunung, kontrak dan penswastaan bersubsidi berat sebelah, bayaran hasil ladang warga Felda yang mencurigakan, tanah warisan yang dirampas dan seribu lagi beban yang dipaksa dipikul oleh rakyat sedangkan pemimpin Melayu BN dan keluarga serta kroni mereka makan tanggung dan melepas cangkung. Siapa sebenarnya yang berterusan memufliskan Melayu?
Bagaimana kita boleh berterusan menerima pemimpin-pemimpin Melayu yang ini terus memenjarakan jiwa, politik dan ekonomi Melayu dengan hujah-hujah kuno, melaungkan ketuanan Melayu yang tidak diperjuangkannya untuk terus kekal memegang kuasa, mempertahankan keluarga, kroni, dan kocek mereka sendiri.
Pemimpin-pemimpin Melayu BN ini bukannya mempertahankan maruah dan nama baik bangsa Melayu yang terus-terus diulit dengan kemiskinan, dibelenggu dengan hutang, diperhambakan untuk kepentingan pemimpin dan terus disogok dengan cerita-cerita dongengan serta terus dipinggirkan di desa yang penuh dengan kesengsaraan. Sudahlah Politik bangsa dikotorkan, ekonomi bangsa pula lagi dijahanamkan ini kan pula maruah, harga diri dan roh bangsa pula yang mahu terus diperkosa dengan pemerintahan Negara Polis yang anti-demokratik berwajah dan bernamakan Melayu.
Mana perginya keberanian kita?
Mana perginya maruah kita?
Mana perginya keimanan kita?
Mana perginya harga diri kita?
Mana perginya… kita?
Dan kita kembali kepada bait-bait nukilan Tongkat Warrant dalam sajaknya itu tadi, sebagai azimat pembekal semangat di hari-hari yang semakin merunsingkan ini:
“Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.”
Cukuplah!
Home »
» Nurul Izzah Anwar Ke mana hilangnya Melayu?
Nurul Izzah Anwar Ke mana hilangnya Melayu?
Written By canang on Rabu, 6 Julai 2011 | 7/06/2011 05:51:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan