Home »
» BERSIH 3.0 NEWS:Lagu BERSIH terus berkumandang
BERSIH 3.0 NEWS:Lagu BERSIH terus berkumandang
Written By canang on Jumaat, 27 April 2012 | 4/27/2012 10:49:00 PG
Pelbagai lagu terus dicipta dan dikumandangkan menjelang perhimpunan menuntut pilihan raya BERSIH dan adil di Kuala Lumpur esok.
Selepas Tears for Malaysia (air mata untuk Malaysia) ciptaan Michelle Hoo – penyokong BERSIH daripada Johor – mencuri tumpuan, satu lagu gubahan kolumnis, aktivis dan pemantau pilihan raya juga mula meniti di bibir peminat.
Didendangkan pertama kali pada ceramah pengiraan detik 10 hari BERSIH di Kampung Baru pada 21 April lalu, Amin Iskandar tampil dengan Mentari Kuning Menyalalah.
Lagu itu ternyata mempunyai melodi indah yang santai untuk mereka yang mendengarnya buat kali pertama.
Namun, jangan tertipu dengan semua itu kerana bait-bait liriknya sarat dengan mesej untuk meniup semangat peserta BERSIH hujung minggu ini.
Kita laungkan BERSIH
belantan perisai baja,
siapakah akan gentar
bila Tuhan bersama kita.
Menurut Amin Iskandar atau lebih dikenali sebagai “Black”, lagu itu penzahiran kepada pengalamannya yang terlibat dengan dunia aktivisme politik dan sosial sejak lebih 10 tahun lalu.
Beliau terlibat secara langsung dengan Institut Kebangsaan untuk Ketelusan Pilihan Raya (NIEI) yang memantau perjalanan pilihan raya negara lain selaku pemerhati bebas.
"Lagu itu saya cipta berdasarkan pengalaman melihat bagaimana dunia berhadapan dengan masalah pilihan raya," katanya yang pernah memantau perjalanan pilihan raya beberapa negara di Asia Tenggara.
Tiup semangat juang
Mendapat ilham dari pengalaman sendiri, Black percaya pilihan raya bebas kemestian yang harus diperjuangkan setiap warganegara Malaysia.
"Saya melihat sendiri bagaimana mereka (negara lain) berjuang untuk mendapatkan pilihan raya bebas," kata Black.
Beliau berharap lagu ciptaannya itu mampu meniup semangat juang ke dalam jiwa mereka yang turun berhimpun esok.
"Lagu itu curahan hati saya dan kalau ia dapat difahami orang lain, itu lebih baik," katanya lagi.
Kini, lagu itu diedarkan dalam bentuk CD yang boleh diperolehi menerusi derma amal sebanyak RM5 melalui pengedar atau tempahan melalui lamanweb www.aminiskandar.net
Hasil jualan CD lagu itu disalurkan semula kepada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), sebuah kumpulan anak muda yang turut giat mempromosikan himpunan BERSIH 3.0 ke seluruh negara.
Kemunculan 'single' Mentari Kuning Menyalalah itu mengiringi beberapa lagu lain seumpamanya dalam pelbagai bahasa yang dimuatnaik ke laman perkongsian video Youtube.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan