Kata manusia paling bijak Abad ke-20, jika kita gagal menjelaskan sesuatu perkara sehingga dapat difahami anak berusia 12 tahun, kita sebenarnya tidak memahami perkara tersebut. Betapa kompleksnya isu, jalinannya boleh dirungkaikan sehingga lurus oleh orang yang benar-benar menguasainya. Mungkin atas sebab itu, badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan kerjasama kartunis politik terkenal, Zunar mengambil inisiatif menerbit buku 'Hikayat Pak Monggol dan Scorpene'.
Suaram sebagai entiti bertanggungjawab memecahkan peti besi skandal pembelian kapal selam Scorpene yang ditutup pemerintah negara sebelum menyerahkannya kepada Mahkamah Perancis tentulah menguasai setiap hal yang berkaitan dengan skandal itu.
Buku setebal 32 halaman ini memuatkan rentetan peristiwa penting skandal yang menggemparkan itu. Bermula dengan watak Pak Monggol, isteri dan Tuan Penasihat berangkat ke melawat ke Paris hinggalah kepada perbicaraan di Mahkamah Perancis yang menyenaraikan tujuh saksi utama - kebanyakannya sosok dikenali dan berpengaruh Malaysia.
Ia dilancarkan pada 29 November lalu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Majlis yang sederhana, di dalam dewan kecil yang menyediakan 119 kerusi di tingkat satu. Di dewan utama, ada acara keraian sebuah majalah fesyen dan gaya hidup tempatan yang dihadiri selebriti terkenal.
Tetapi semangatnya sama sekali tidak sederhana. Hadirin terdiri dari orang awam, rakan dan keluarga yang menyokong hinggalah kepada tokoh-tokoh yang berkongsi tujuan sama - melawan kebiadapan pemerintah. Pak Samad memberi penghormatan dengan melancarkan 'Hikayat Pak Monggol dan Scorpene'.
Seperti kata-kata Zunar pada malam itu, "Baca buku saya dan gelak guling-guling - lepas gelak kita gulingkan kerajaan". 32 halaman dihiasi ilustrasi yang bukan sekadar mencuit hati, malah menjentik rasa pembaca untuk ketawa dan pada masa sama meludah pemimpin-pemimpin negara yang tanpa rasa bersalah menghancurkan amanah yang diberi rakyat kepada mereka.
Meruntuhkan tembok kerumitan
Ketika era Reformasi dahulu, ilustrasi Dr Mahathir bersama hidung besarnya berjaya menonjolkan imej diktator mantan Perdana Menteri paling lama itu. Kini, isteri 'Pak Monggol' menjadi mangsa seterusnya, dengan rambut mengerbang dan cincin sebesar penumbuk menggambarkan perwatakannya yang boros dan gemar bermewah-mewah.
Tetapi lebih sekadar itu, setiap halaman menceritakan dengan mudah tentang peristiwa yang berlaku. Lepas daripada hal-hal kompleks yang mungkin membuatkan ramai berhenti dari cuba memahami.
Memang, bukan semua dapat memahami bagaimana wang berbilion ringgit berpindah tangan dan bertukar negara seperti Hong Kong dan Malta, proses perundangan meragukan di mahkamah Malaysia, sepina yang dikeluarkan Mahkamah Perancis dan kaitan kes ini dengan penjualan dokumen rahsia Kementerian Pertahanan Malaysia kepada syarikat Perancis.
Justeru, selain simbol seperti kapal selam yang gagal menyelam dan imej wajah pucat Altantuya Shariibuu, ilustrasi sinis tentang kes ini penting untuk menarik perhatian orang ramai sekaligus meruntuhkan tembok kerumitan yang menghalang hal-hal mustahak seperti rasuah dan pembunuhan dari merebak ke dalam fikiran, seterusnya dibincangkan di kopitiam dan beranda surau usai solat jemaah.
Mentertawakan 'makhluk suci'
Pergilah ke mana-mana negara yang menyunjung kebebasan kreativiti, kita akan dapat melihat, membaca dan mendengar politikus ditertawakan. Termasuk dari pihak pemerintah. Menerusi televisyen pada waktu perdana. Ia adalah satu budaya masyarakat kritikal yang sentiasa peka mengenai pentadbiran tanah airnya. Tetapi jangan harap hal seumpama berlaku di Malaysia. Entah kenapa, politikus dianggap sebagai makhluk suci. Bukan sekadar kritik terbuka, ketawa terbuka pun dilarang.
Menurut ajaran Ulama Muda Umno, kritikan terhadap pemimpin negara dibolehkan, tetapi mseti dibisikkan terus kepada pemimpin tersebut. Tetapi bolehkah ketawa dengan nada bisikan sahaja?
Sabtu lalu (1 Desember) adalah hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-66. Pasti ramai di antara kita yang mengikuti ucapan-ucapan, dari pemimpin tertinggi hinggalah ke peringkat akar umbi. Bayangkan sumber komedi yang boleh digunakan oleh pelawak-pelawak malaysia yang ramai ini. Peristiwa perwakilan Umno menangis ketika mendengar lagu 'Anak Kecil Main Api' misalnya. Namun adakah kita akan dapat melihat ia disentuh dalam rancangan Maharaja Lawak Mega minggu ini? Pastinya tidak. Mereka ada perut yang ingin diisi, perlu terus muncul di kaca tv.
Zunar adalah salah satu pengecualian dalam penganiayaan kreativiti ini. Sebab itu jugalah, banyak buku-bukunya diharamkan dan dirampas Kementerian Dalam Negeri.
Buku terbaru ini juga mungkin sedang menunggu giliran, kerana lakaran dan dialog yang dimuatkan tidak kurang tajamnya. Dari babak Pak Monggol mengunjungi bilik pameran syarikat kapal selam DCNS hinggalah kepada momokan slogan pemerintah, 'Janji Ditepati'.
"Sebaik sahaja bangun tidur, hidup kita sudah ceria kerana mesti ada menteri yang melawak. Pada satu hari, saya tidak tahu nak lukis apa kerana terlalu banyak bahan," kata Zunar lagi pada malam itu. Jika pelawak di Malaysia 'dibenarkan' mengambil pendekatan sama, tentulah mereka tidak perlu mengitar semula lawak-lawak bodoh memualkan yang kita lihat saban hari di televisyen.
Mentertawakan pemimpin adalah amalan yang sihat. Terutama di sebuah negara seperti Malaysia. Sesiapa pun akan merasa sesak untuk menyumpah-seranah dan mencaci-maki setiap kali perilaku jelik pemimpin dibogelkan. Air liur juga pastinya akan kering untuk diludahkan. Jadi marilah kita sama-sama ketawa - ketawa yang berisi amaran, dan jangan sesekali berdiam.
Oleh Aedi Asri (Suara Keadilan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan