Kebencian kepada pentadbiran Najib merentasi semua - laporan Asia Sentinel Pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak berdepan kebencian merentasi semua lapisan daripada rakyat sehinggalah dalam Umno sendiri, lapor portal berita Asia Sentinel. Laman tersebut melaporkan situasi sama semasa penyingkiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi kini berulang lagi, memetik sumber dalaman Umno kepada Asia Sentinel. "Kebencian sama bukan khusus kepada beberapa segmen Umno dan elit pemerintah sahaja. Zaman Mahathir, kebencian dan kurang senang hanya di kalangan kumpulan intelektual dan hak asasi manusia. Tetapi Najib, ia merentasi semuanya sehingga ke isterinya dan rakan-rakannya," kata Asia Sentinel yang memetik pendedahan sumber Umno. Walaupun kumpulan blogger daripada kem bekas perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memberikan tekanan kepada Najib, ia masih tidak memadai. "Tangan Mahathir dan Daim (bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin) di merata-rata tempat tetapi kuncinya sekarang adalah Najib dan isterinya yang menyediakan semua peluru. "Tanpa peluru tersebut, Mahathir sukar mengerah bala tenteranya untuk menentang Najib," kata sumber yang dipetik dalam Asia Sentinel. Asia Sentinel dalam laporannya juga mendedahkan dua blogger kem Mahathir yang lantang mengkritik Najib, Kadir Jasin dan Outsyedthebox. Kedua-dua blogger tersebut menurut Asia Sentinel seringkali membidas langkah dan polisi pentadbiran Najib yang dilihat banyak membazir. Bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin sebelum ini membidas Najib susulan kontroversi penggunaan aset kerajaan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan luar negara. Kadir secara sinis berkata Najib perlu mengkaji semula peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Rosmah sebagai menteri. Selain itu, Dr Mahathir juga tidak ketinggalan membidas Najib apabila mempersoalkan keperluan Putrajaya memiliki banyak kapal terbang berbanding ketika zaman pemerintahannya. Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sebarang pesawat mewah sewaktu pimpinan beliau namun berpendapat kerajaan kini mempunyai wang mencukupi untuk membelanjakan kemewahan tersebut. Tahun lepas, Jabatan Perdana Menteri memberitahu parlimen bahawa Putrajaya kini memiliki sekurang-kurangnya tujuh kapal terbang, termasuk jet kelas perniagaan Boeing. Kapal terbang itu digunakan oleh VVIP termasuk Yang Dipertuan Agung dan perdana menteri. Ia termasuklah Falcon, Global Express, jet kelas perniagaan Boeing, Blackhawk, 2 Augusta dan Fokker F28. Menurut Asia Sentinel lagi, suara-suara marah rakyat serta beberapa pemimpin dalam Umno tersebut juga berpunca daripada pemotongan beberapa subsidi yang diberikan kerajaan baru-baru sehingga mengakibatkan kenaikkan harga barang yang mendadak. Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain meningkat. Setelah dikritik kerana tidak berjimat, Putrajaya baru-baru ini mengumumkan mereka akan mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri dan pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat. Tetapi pembangkang melabelkannya sebagai reaksi spontan dan setelah melihat kesan kepada pengurangan subsidi yang dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum 2013. -TMI Malaysia Chronicle.
Home »
» Kebencian kepada pentadbiran Najib merentasi semua
Kebencian kepada pentadbiran Najib merentasi semua
Written By canang on Rabu, 15 Januari 2014 | 1/15/2014 09:02:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan