Home » » 10 Pembunuhan Kejam Di Malaysia Sehingga Kini Tidak Selesai

10 Pembunuhan Kejam Di Malaysia Sehingga Kini Tidak Selesai

Written By canang on Jumaat, 17 Julai 2015 | 7/17/2015 10:22:00 PG

 

10 Pembunuhan Kejam Di Malaysia Sehingga Kini Tidak Selesai


Bukan kat luar negara je ade

Selalu tengok fakta macamni kes-kes kat luar negara je ade, tetapi skang Malaysia pun dah ade. Lepas ni mungkin jadi 11 fakta kot lepas tambah misteri MH370. Mari kita tengok 10 fakta misteri tersebut. 


10: Kematian Ratu Cantik
Jean Perrera Sinappa merupakan bekas ratu cantik di mana suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Tetapi 4 bulan kemudian iaitu pada 6 April 1979, dia dijumpai mati di dalam kereta di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur. Bekas teman lelaki yang juga abang iparnya, Karthigesu dijumpai tidak sedarkan diri di tepi jalan luar kereta tersebut. Apabila Karthigesu sedar di hospital, dia mengadu dipukul di bahagian kepala dari arah belakang.

Keputusan mahkamah mendapati Karthigesu didapati bersalah membunuh Jean dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pihak pendakwaan mengemukakan kes di mana Karthigesu dilihat cemburu apabila mendapati Jean mempunyai hubungi sulit dengan doktor di Sri Lanka, Dr Narada Warnasurya. Bagaimanapun, Karthigesu dibebaskan dua tahun selepas rayuannya diluluskan di Mahkamah Rayuan.


9: Mana Anak Saya?
Beberapa tahun lalu, berita tentang kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama di media tempatan. Bagaimanapun, kisah kematian Sharlinie Mohd Nashar lama dimainkan media sebelum ia menjadi suram.

Pada 9 Januari 2008, Sharlinie, 5, bermain di taman permainan di kawasan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang. Masyarakat mula memandang serius laporan tersebut apabila wujud watak ‘lelaki kucing’ setelah suspek dikatakan meminta mangsa mencari kucingnya yang hilang.vKehilangan Sharlinie terus menjadi isu hangat dalam media tempatan apabila kes itu timbul ketika kes kehilangan Nurin Jazlin Jazimin masih lagi panas.

Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ dan kehilangannya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini.


8: Kematian Gadis Yang Merobek Jutaan Hati

20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin, 8, telah pergi ke sebuah pasaraya berdekatan rumahnya untuk membeli klip rambut sebelum di dilaporkan hilang. Saksi kejadian berkata dia diculik dan dibawa masuk ke dalam sebuah van berwarna putih di Wangsa Maju. Kehilangan gadis itu mendapat liputan media yang luar biasa hinggakan nama dan mukanya boleh dikatakan tersemat di fikiran setiap rakyat Malaysia pada ketika itu. Ratapan sedih keluarga yang mengharapkan dia pulang ke pangkuan keluarga telah menyentuh hati ramai pihak di mana rakyat Malaysia terus memanjatkan doa supaya dia pulang dengan selamat.

Sebulan selepas itu, seorang kanak-kanak dijumpai mati dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg gim di Petaling Jaya. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah memberi sedikit sebanyak maklumat berkenaan suspek yang membuang beg tersebut. Keluarga Nurin gagal untuk membuat pengecaman mayat akibat kecederaan teruk yang dialami mangsa. Namun, ujian DNA mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin, kepada pasangan tersebut. Seorang wanita Indonesia kemudiannya ditahan berkenaan kes tersebut tetapi kes itu masih belum diselesaikan.

7: Apabila Keseronokan Bertukar Kematian

Norita Samsuddin, 22, merupakan seorang anak gadis yang berasal dari negeri utara tanah air yang mencuba nasib di kota raya, Kuala Lumpur. Mempunyai susuk tubuh yang menarik, dia dikatakan menerima beberapa tawaran sebagai peragawati namun menolaknya apabila dia ketika itu bekerja sebagai eksekutif pemasaran di Transpro Sdn Bhd sebelum dia dijumpai mati.

5 Disember 2003, Norita dijumpai mati di dalam bilik di sebuah pangsapuri mewah di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Mangsa dijumpai dalam keadaan berbogel dan tangannya diikat menggunakan baju dalam dan beberapa wayar. Tiada sebarang tanda dia dicederakan kecuali kesan cekik di lehernya dan beberapa cebisan baju di dalam mulutnya. Jurutera, Hanif Basri kemudiannya ditahan dan dituduh membunuh mangsa. Hanif dipercayai orang terakhir yang menjumpai Norita pada malam tersebut dan pihak pendakwaan cuba membuktikan dia adalah orang terakhir menjumpai mangsa ketika mangsa masih hidup.

Bagaimanapun, semasa perbicaraan berlangsung, dipercayai ada orang lain telah melawat Norita selepas Hanif. Pertuduhan terhadap Hanif dilihat terlalu lemah. Hanif dibebaskan selepas timbulnya teori konspirasi berkaitan kehidupan sosial Norita selama ini. Mungkin segala yang benar telah dikuburkan bersama Norita.


6: Benarkah Pelayan Yang Melakukannya?

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Negeri Sabah, Datuk Norjan Khan Bahadar dijumpai mati di dalam sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya, Kota Kinabalu pada 11 Februari 2004. Norjan dijumpai mati terbaring dalam keadaan lengkap berbaju di tepi katil dengan beberapa kesan tikaman kecil di bahagian leher dan muka beliau. Polis pada mulanya mengesyaki motif cemburu sebagai punca utama kematian tersebut tetapi menukar kepada motif rompakan walaupun tiada barang yang hilang di dalam biliknya.

Penyiasatan membawa kepada penangkapan seorang pelayan, Azman Bakar di mana polis percaya suspek cemburu melihat Norjan bersama lelaki lain. Ketika sidang penghakiman, seorang saksi telah membawa seorang ahli perniagaan Pakistan, Amir Khan. Beberapa bukti timbul semasa perbicaraan yang menunjukkan Datuk Norjan mempunyai hubungan dengan Amir Khan walaupun dia menafikannya.

Azman Bakar kemudiannya dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Azman pada faktanya mengenali Norjan. Tiada tangkapan lain dibuat. Sekali lagi, kes misteri yang tidak diselesaikan.



5: Tragedi ‘Double Six’

Anda yang menetap di Kuala Lumpur mungkin pernah melalui Taman Tun Dr Ismail dan pastinya akan terperasan Jalan Tun Fuad Stephens. Namun, berapa ramai sahaja yang tahu siapakah dia sebenarnya. Pastinya ada yang menjawab beliau adalah bekas Ketua Menteri Sabah. Tetapi berapa ramaikah yang tahu berkenaan kematian beliau yang penuh misteri dan kes tersebut masih tidak diselesaikan hingga ke hari ini.

Pada 6 Jun 1976, Tun Fuad Stephens bersama beberapa pegawai kerajaan termasuk anak sulung beliau, Johari menaiki pesawat Nomad GAF yang dikendalikan oleh Sabah Air di Lapangan Terbang Labuan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu. Bagaimanapun, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pesawat itu terhenti dan terhempas lalu membunuh semua anak kapal termasuk juruterbang.

Khianat disyaki sebagai motif utama kejadian tersebut walaupun kemudiannya kelemahan reka bentuk pesawat dilihat sebagai punca utama insiden tersebut. Kematian Tun Fuad terjadi selepas 44 hari penggal kedua beliau sebagai Ketua Menteri Sabah. Keadaan politik yang mengiringi kematiannya begitu ironis kerana ia mempunyai kaitan dengan isu minyak dan gas di Sabah.

YM Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menaiki kapal terbang yang sama tetapi pada saat-saat akhir telah di ajak turun daripada pesawat oleh Timbalan Ketua Menteri pada masa itu iaitu Datuk Harris Mohd. Salleh untuk merasmikan projek ladang lembu di Pulau Banggi, Kudat. Tengku Razaleigh yang juga menaiki jenis pesawat yang sama telah diarahkan untuk menjauhi pesawat sebaik sahaja mendarat di Kudat kerana dikhuatiri pesawat mengalami masalah yang sama. Sebaik sahaja mereka mendapat berita buruk ini, mereka telah di terbangkan oleh helikopter tentera ke Kota Kinabalu.

Sejurus pesawat tersebut menjunam di kawasan air cetek, lokasi berkenaan menjadi tumpuan orang ramai kerana ketika terhempas, ia dikatakan menggegarkan kawasan itu. Malapetaka tersebut kemudiannya dikenali sebagai peristiwa Double Six sempena tarikh kejadian itu iaitu 6/6/1976. Setahun selepas kejadian tersebut, sebuah tugu peringatan didirikan di lokasi berkenaan bagi memperingati tragedi itu yang merupakan salah satu peristiwa penting negara.


4: Berakhirnya Kesengsaraan Kehidupan

Xo Jian Huang, 14, warganegara China telah dihantar untuk menetap di Malaysia bersama sepupu bapanya. Bagaimanapun, pada 27 September 2005, dia dijumpai mati lemas dalam sebuah kolam renang dengan 23 kesan dera di badan mangsa. Siasatan membawa kepada penangkapan dan perbicaraan yang melibatkan tiga lelaki yang dituduh membunuh Xu; bapa saudaranya seorang ahli perniagaan, Koh Kim Teck dan dua orang pengawal peribadinya, Resty Agpalo dan Mohd Najib Zulkifli.

36 hari perbicaraan telah menyebabkan gelaran ‘Datuk Seri’ ahli perniagaan itu dibatalkan. Bagaimanapun, disebabkan timbulnya keraguan yang tidak dapat diselesaikan dan tidak terjawab, ketiga-tiga suspek itu bebas daripada membunuh mangsa. Bukan itu sahaja, saksi yang sepatutnya hadir semasa perbicaraan dikatakan telah hilang menyebabkan ketiga-tiga suspek itu dilepaskan.

Memetik laporan media pada 2010, pihak pendakwaraya membuat rayuan untuk menentang tertuduh dan Koh yang terkenal dengan personaliti korporatnya berjaya menghilangkan diri. Pada sidang rayuan, seperti dijangka, Koh tidak menghadirkan diri pada semua sesi rayuan. Pada 2010, dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan tetapi Koh masih menghilangkan diri. Adakah dia yang menyiksa anak saudaranya? Adakah pengawal peribadinya turut terlibat? Kenapa ada saksi yang hilang?


3: Wanita Ilmu Hitam

Kes tersebu telah selesai. Pembunuh telah dihukum mati. Kes ditutup. Bagaimanapun, apa yang terjadi di sekeliling dan keanehan pembunuh kes ini menyebabkan ia masih tersenarai dalam carta ini. Pada 22 Julai 1993, polis menemui mayat ADUN Batu Talam, Mazlan Idris yang dicincang. Bekas penyanyi yang kemudian bertukar menjadi bomoh, Mona Fandey ditahan bersama suami dan pembantu beliau.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Hukuman mati tetap dilaksanakan walaupun terdapat rayuan. Tiada siapa yang hidup pada era 90-an boleh melupakan perbicaraan Mona Fandey – Mazlan Idris. Mayatnya telah dicincang kepada beberapa bahagian selepas berlangsungnya satu upacara ghaib dipercayai bertujuan untuk membawa lebih banyak wang untuknya.

Mayat Mazlan kemudian ditanam di stor berhampiran rumahnya di Pahang. Apa yang dianggap sebagai ‘belum selesai’ ialah ketika kekejaman mereka itu dibawa ke muka pengadilan. Sepanjang perbicaraan, Mona sentiasa berkata “Aku takkan mati” dan kekal tenang dengan senyuman di bibirnya.


2: Tragedi Pembunuhan Ketua Polis Negara

Tan Sri Abdul Rahman Hashim telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-3. Pada 7 Jun 1974, ketika Abdul Rahman berada di dalam kereta menuju ke Bukit Aman, kereta yang dipandu Sarjan Omar Yunus yang melalui Jalan Tun Perak telah dihujani beberapa das tembakan. Dua penyerang yang tidak dikenali telah melepaskan 11 das tembakan pada kereta tersebut di mana tujuh das terkena KPN.

Pada masa itu, Malaysia sedang berusaha menentang kebangkitan kuasa subversif yang datang dari kalangan ahli komunis. Dipercayai bahawa pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng yang mengeluarkan arahan bunuh. Bagaimanapun, ia tidak berjaya dibuktikan di mahkamah. Pada 1975, dua orang lelaki, Lim Woon Choong dan Ng Foo Nam didapati bersalah membunuh Ketua Polis Perak Tan Sri Khoo Choong Khong di Jalan Ashby di Ipoh.

Kemudian timbul teori bahawa berkemungkinan penyerang tersebut adalah orang yang sama menyerang Abdul Rahman walaupun tiada bukti kukuh. Lim dan Ng telah dihukum mati pada tahun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sehingga hari ini, masih tidak diketahui adakah benar mereka berdua pembunuh upahan yang membunuh Abdul Rahman.


1: Tragedi Kemalangan Pesawat Negara

Pada hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan rakyat Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.

Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 34 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.

Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.

Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya tersendiri. Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.

Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.

Beberapa spekulasi bahawa ‘Japanese Red Army’ adalah pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada bukti ditemui untuk menyokong teori tersebut. Ia kekal sebagai memori tragis dalam sejarah penerbangan komersial di Malaysia dan kematian kesemua anak kapal pesawat berkenaan menjadikan tragedi berada di tempat teratas senarai kami.

Kredit: MyNewsHub
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger