LAHAT – Seorang wanita terkejut apabila menemui sebutir peluru tertanam di pinggangnya sejak 13 tahun lalu.
Roshalinda Abdul Hamid, 27, berkata, dia menjumpai peluru itu secara
kebetulan selepas berasakan terdapat benjolan seperti bisul di
pinggangnya.
Menurutnya, kelainan pada badannya itu dirasakannya pada pertengahan bulan lalu .
“Apabila picit, saya memang terkejut dan tak sangka peluru yang keluar,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Desa Pelancongan, di
sini.
Roshalinda berkata, meskipun peluru itu sudah lama tertanam di badannya,
dia tidak sakit namun kerap berasa lenguh di pinggang sebelum
melahirkan anak kedua.
Terkena peluru sesat
Mengimbau peristiwa 13 tahun lalu, Roshalinda berkata, dia yakin peluru
itu adalah objek yang tertusuk di peha kanannya ketika dia menyambut
Aidilfitri di kampung halamannya.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada pagi raya kedua, ketika itu
dia ingin menjamah makanan di ruang tamu rumah ibu saudaranya yang
terletak di Selinsing.
“Masa nak duduk di sebelah mak, tiba-tiba terdengar bunyi letupan
sebelah kanan saya, mak jerit dan beritahu yang kain batik saya dibasahi
darah.
“Meskipun terkejut melihat darah membasahi kain batik yang dipakai, saya
hanya mendiamkan diri manakala ayah waktu itu terus bergegas bawa saya
ke sebuah hospital di Taiping untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Dia berkata, doktor di hospital itu mengatakan peha kanannya tidak ditembusi peluru sebaliknya hanya terkena serpihan mercun.
Roshalinda berkata, penjelasan doktor itu agak sukar diterima oleh ahli
keluarga terutama abang sulungnya yang ada bersama ketika ujian X-ray
dilakukan pada luka berkenaan.
“Polis yang ambil laporan saya di Balai Polis Gunung Semanggol sebelum
ini turut sependapat mengatakan objek itu adalah peluru berdasarkan
kesan terbakar berbentuk bulat pada kain batik,” katanya.
Roshalinda berkata, selepas kejadian itu luka di paha kanannya beransur
sembuh seperti sediakala dan dia menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya juga tak jalani pemeriksaan lanjut di mana-mana pusat perubatan
selepas kejadian itu disebabkan luka tersebut beransur sembuh seperti
sediakala,” katanya.
Tak tahu angkara siapa
Sementara itu, bapanya, Abdul Hamid Chin, 61, pula berkata, sehingga
kini, dia masih bingung memikirkan kejadian yang menimpa anaknya sekitar
13 tahun lalu.
Menurutnya, kediaman kakak iparnya jauh dari rumah penduduk lain dan dikelilingi sawah.
“Yang menjadi persoalan, siapa dan bagaimana peluru itu boleh tersasar
sehingga memasuki rumah kakak ipar saya yang terletak jauh dari
penempatan penduduk lain,” katanya.
Abdul Hamid berkata, peristiwa yang terjadi itu menyebabkan kakak
iparnya mengambil keputusan menjual rumah berkenaan dan berpindah ke
tempat lain.
Jelasnya, kakak iparnya takut kejadian yang sama berulang dan membuat keputusan demikian.
“Kami sekeluarga bagaimanapun bersyukur kerana kejadian yang menimpa
anak saya itu tidak mengakibatkan kecederaan teruk atau kesan sampingan.
“Alhamdulillah, cuma sedikit terkilan kerana doktor yang pernah merawat
anak saya dulu bertegas mengatakan paha kanan anak saya itu tidak
ditembusi peluru,” katanya. – Sinar Harian Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan