Mahkamah Tinggi menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk menggunakan sabitan Liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembelaan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 Oktober, 2015.Utusan Melayu (Malaysia) Berhad gagal dalam permohonan mereka untuk memasukkan sabitan Liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembelaan mereka terhadap saman malu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membuat penghakiman itu selepas mendengar permohonan peguam Utusan Melayu, Datuk Firoz Hussein Ahmad sejak 6 dan 7 September lalu.
"Keputusan saya adalah bukti sabitan lampau tidak boleh diterima atau dibenarkan," kata hakim Hue sewaktu membacakan penghakiman.
Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak memohon meminda kenyataan pembelaan mereka pada 2 Julai tahun lepas untuk memasukkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun itu, yang mendapati
Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas bekas ketua pembangkang itu.
Mereka juga mahu memasukkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
Hakim Hue menetapkan kes disambung semula pada 2.30 petang 19 Oktober 2015. – 8 Oktober, 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan