Roisah Abdullah baru saja menerima keputusan STPM minggu lalu, dan muncul sebagai pelajar terbaik di sekolahnya dengan 3A dan 1B.
Namun masa depan gadis berusia 20 tahun ini kekal gelap kerana dia bukan berstatus warganegara. Kisahnya dibangkitkan anggota parlimen Padang Serai yang juga seorang peguam N Surendran.
Beliau berkata tanpa status warganegara, Roisah tidak dapat menyambung pelajaran, mendapat pekerjaan atau malah membuka akaun bank sendiri.
"Oleh kerana dia telah dinafikan hak kewarganegaraan secara salah dan tidak mengikut undang-undang, Roisah tidak dapat memohon masuk universiti.
"Dia sepatutnya mendapat kursus terbaik di universiti tempatan. Tetapi walaupun menjadi pelajar terbaik, dia tiada masa depan dengan keadaan sekarang," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Menurut surat beranaknya, Roisah lahir di sebuah klinik di Klang. Ibunya warga asing manakala identiti bapanya tidak diketahui. Dia kemudian diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Melayu.
Roisah memang seorang pelajar cemerlang, mendapat semua A dalam PMR dan 7A dan 1B dalam SPM. Dia dapat menduduki kedua-dua peperiksaan selepas banyak kali membuat rayuan.
Dia juga sudah banyak kali membuat permohonan warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - kali terakhir pada Mac 2013.
Dia diminta menunggu keputusan permohonan yang akhirnya diterimanya lima tahun kemudian - melalui surat bertarikh 16 Januari 2018.
Permohonannya ditolak.
Dengan sesi kemasukan universiti tahun ini akan tiba tidak lama lagi, Roisah yang memasang impian untuk belajar bidang perakaunan atau ekonomi berkata dia sudah kesuntukan masa untuk membuat permohonan.
"Berdasarkan undang-undang, dia sepatutnya mendapat taraf warganegara. Dia lahir di dalam negara dan menurut Perlembagaan Persekutuan, dia secara automatik adalah warganegara.
"Jika dia berstatus warganegara, dia sepatutnya layak untuk belajar undang-undang di Universiti Malaya yang merupakan program yang menjadi rebutan ramai," kata Surendran.
Ada seragam, tiada sekolah
Pada sidang media sama, Surendran turut membangkitkan kes Karthiyani Ragunathan, kanak-kanak berusia lapan tahun dengan ibu dan bapa warga Malaysia.
Namun hanya dia di kalangan sepuluh beradik yang tidak berstatus warganegara hanya kerana dilahirkan di rumah, kata Surendran.
Kali terakhir keluarga membuat permohonan dengan JPN adalah pada Disember tahun lalu, dan ditolak.
"JPN kata oleh kerana Karthiyani tidak lahir di hospital, mereka tidak tahu dia datang dari mana. Ini mengarut," katanya sambil berkata keluarga mendapatkan surat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengesahkan dia dilahirkan di rumah.
"Dia tak pernah ke sekolah. Dia ada uniform tetapi tak dibenarkan ke sekolah.
Di Malaysia yang moden, pada tahun 2018, masih ada anak yang dinafikan persekolahan selama setahun," katanya.
Kembalikan masa depan
Begitu juga dengan Lim Ai Ling, 7 tahun, yang tidak pernah bersekolah walaupun lahir di sebuah klinik di Klang dan bapanya warga Malaysia.
Ibunya, warga Indonesia, sudah meninggalkan keluarga.
Surendran mendakwa JPN menolak permohonan kerakyatan Lim - kali terakhir dibuat April 2017 - kerana perkahwinan ibu bapanya tidak pernah didaftarkan secara betul.
"Apabila saya memulakan kempen hak kerakyatan, kanak-kanak ini (Karthiyani dan Lim) masih belum dilahirkan.
"Kami mahu penjelasan kenapa ini berlaku, berapa banyak lagi kes sama di negara ini dan mengapa kerajaan masih tidak mampu menyelesaikannya," katanya.
Surendran menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk segera masuk campur dalam tiga kes itu dan memberikan dokumen dan status warganegara agar mereka dapat "meneruskan hidup mereka".
Beliau memetik Artikel 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan seseorang yang lahir ketika atau selepas Hari Malaysia adalah berstatus warganegara jika dilahirkan dalam negara dan ibu atau bapanya seorang warganegaraBeliau juga memetik Artikel 1(e) peruntukan sama yang menyatakan seseorang yang lahir di sini dan bukan warga negara lain layak untuk menjadi warganegara.
Justeru Surendran menggesa kerajaan memulihkan keadaan dan mengembalikan masa depan Roisah, Karthiyani dan Lim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan