Home » » Dr Mohd Asri didakwa di Shah Alam esok/ Nizar News

Dr Mohd Asri didakwa di Shah Alam esok/ Nizar News

Written By canang on Selasa, 10 November 2009 | 11/10/2009 01:12:00 PTG


Kemelut mengajar agama tanpa tauliah membabitkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sudah selesai siasatannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bakal menyaksikan penceramah muda itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada esok atau Khamis ini.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, berkata pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap mufti terbabit.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan Jais dan jika tidak ada halangan bekas mufti itu akan dituduh di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada esok atau Khamis ini.
“Seperti yang dijelaskan Pengarah Jais (Datuk Mohamad Khusrin Munawi) sebelum ini, Dr Mohd Asri tetap akan didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun, apa yang membezakan kali ini, bekas mufti berkenaan akan dituduh di mahkamah syariah di Shah Alam dan bukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur,” katanya, semalam.

Beliau mengulas perkembangan terkini, siasatan terhadap Dr Mohd Asri yang ditahan sekumpulan penguat kuasa Jais di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, dekat Kuala Lumpur, ketika memberikan ceramah pada 1 November, kira-kira jam 9.45 malam.
Bekas mufti itu dibawa ke Balai Polis Hulu Klang, kira-kira dua jam selepas itu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan keesokannya Dr Mohd Asri diminta hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur sebelum dibebaskan dengan bon jaminan bagi membolehkan beliau dipanggil semula.
Shahrom berkata, bekas mufti berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar Islam atau perkara mengenai Islam di negeri itu tanpa tauliah daripada Jais.
Beliau berkata, jika didapati bersalah, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut isu itu, Shahrom berkata, Jais akan meneruskan penguatkuasaan lebih kerap terhadap mereka yang melakukan kesalahan sama di negeri berkenaan.
“Apa yang pasti, sebarang tindakan yang dilakukan Jais berdasarkan siasatan dan pemantauan teliti bagi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang titik bengik terhadap masyarakat umum.
“Malah, kami juga memantau beberapa individu lain yang dikesan melakukan aktiviti sama dan akan bertindak sebaik maklumat dan siasatan lengkap diperoleh,” katanya.
Shahrom berkata, masalah tidak akan timbul jika pihak berkaitan mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan Jais dan ia bukan satu perkara perlu diperbesarkan.
Menurutnya, beliau mengingatkan mereka yang masih ingkar dengan arahan itu supaya menghentikan ceramah tanpa tauliah bagi mengelak tindakan Jais.






Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger