Home » » Musa Gaji Tinggi Tapi Gagal Tangani Masalah Jenayah Semakin Serius

Musa Gaji Tinggi Tapi Gagal Tangani Masalah Jenayah Semakin Serius

Written By canang on Rabu, 14 Julai 2010 | 7/14/2010 07:00:00 PG

SHAH ALAM 13 Julai - Pendapatan bulanan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dianggarkan mencecah lebih RM25 ribu sebulan tidak layak beliau terima memandangkan kadar jenayah masih ditahap yang merisaukan dan usaha pembasmian jenayah dilihat gagal di bawah pengawasan beliau.
Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa kadar jenayah telah turun sebanyak lima belas peratus, tetapi rakyat menganggap ia sebagai kenyataan untuk mententeramkan hati bukan satu realiti yang nyata.
Rakyat dinegara ini masih lagi merasakan kehidupan mereka sentiasa berhadapan dengan ancaman jenayah walaupun mereka berada di dalam kediaman sendiri.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ketika dihubungi memberitahu sebenarnya sudah lama Pakatan Rakyat mendesak Musa meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara kerana terlalu banyak kes jenayah di negara ini beliau gagal selesaikan.
"Dari dulu lagi kita mendesak Musa melepaskan jawatannya apatah lagi dengan isu jenayah yang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Selain itu kejadian di tembak sesuka hati oleh pihak polis merupakan satu kegagalan besar di dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM), seperti dalam kes kematian remaja Aminurasyid yang disebabkan tindakan polis menembak secara melulu.
"Kita tahu tanggungjawab Ketua Polis Negara sangat besar tetapi beliau gagal untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dalam memastikan isu jenayah negara ini berada pada tahap yang betul-betul memuaskan.
"Berkenaan dengan isu pendapatan bulanan anggota polis, kerajaan tidak sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada pendapatan Ketua Polis Negara sahaja tetapi ia perlu peka kepada anggota biasa juga kerana pendapatan yang kurang akan mengundang gejala rasuah anggota polis. Yang bekerja kuat adalah mereka berada di bawah bukannya yang duduk di atas seperti Musa," jelas Nurul Izzah.
Pendapat yang sama turut di utarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard yang mengatakan pemberian gaji yang tinggi kepada Ketua Polis Negara itu adalah untuk mengelakkan berlakunya jenayah rasuah dan sepadan dengan tanggungjawab untuk membasmi jenayah tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
"Musa gagal memastikan jenayah negara ini berada pada tahap yang betul-betul memuaskan, hinggakan rakyat sekarang sentiasa berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mengenai laporan polis yang dilakukan terhadap pemimpin atasan Umno mahupun kerajaan, kita patut tahu sebab sebenar kenapa Musa gagal untuk mengambil tindakan terhadap laporan tersebut.

"Pemilihan Ketua Polis Negara ini dipersetujui Perdana Menteri dan diperkenankan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong, apabila situasi ini berlaku maka secara asasnya jika lantikan dilakukan oleh Perdana Menteri bagaimana Ketua Polis itu hendak mengambil tindakan ke atas ketuanya jika ada laporan di buat terhadap ketuanya.
"Untuk mengelakkan sikap melindungi individu tertentu berlaku, saya ingin menegaskan pemilihan Ketua Polis Negara ini perlu dilakukan oleh kuasa rakyat dan pencalonan hendaklah melalui parlimen. Apabila sistem sebegini digunakan maka Ketua Polis Negara menjadi hak milik rakyat dan kepada sesiapa laporan itu dibuat maka ia boleh bertindak terus tanpa memikirkan pangkat mahupun kedudukan seseorang," tegas CheGuBard.
Tambah beliau walaupun Datuk Seri Najib Razak mengatakan negara ini mengamalkan sistem pentadbiran yang baik tetapi dasar yang diamalkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebenarnya menunjukkan sistem negara belum lagi matang.
CheGuBard juga melabelkan pentadbiran PDRM di bawah Musa sebagai yang paling teruk jika dibandingkan dengan Ketua Polis Negara sebelum ini.
Mengikut satu laporan media gaji bulanan Ketua Polis Negara di bawah gred Gaji SSM VUYY3 adalah RM13,849.67, elaun rumah RM2,500, elaun keraian RM5,100 serta imbuhan tetap jawatan RM3,000.
Selain itu juga terdapat elaun pemandu, elaun pembantu rumah, tukang kebun dan lain-lain elaun berkaitan.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger