Home » » Polis tidak rancang kaji semula saman ekor

Polis tidak rancang kaji semula saman ekor

Written By canang on Jumaat, 9 Julai 2010 | 7/09/2010 09:23:00 PTG

KUALA LUMPUR: Polis tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor susulan rungutan orang ramai mendakwa tidak menerima notis saman, yang kebanyakannya timbul akibat mereka tidak mengemas kini alamat masing-masing.

Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata polis menyediakan saluran mudah untuk pemeriksaan saman seperti khidmat pesanan ringkas (SMS 32728) atau akses internet (www.myeg.com.my).
"Bukankah sudah diberitahu, orang ramai yang sudah berpindah perlu beritahu pada kita atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai alamat baru itu dalam masa seminggu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Abdul Aziz mengulas rungutan pelaksanaan saman ekor menyusahkan orang ramai kerana tidak menerima notis saman.

Beliau berkata, tindakan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan itu bukan untuk menghukum tetapi bertujuan memberi pengajaran kepada mereka untuk lebih bertanggungjawab.

Kebanyakan saman dikeluarkan kerana memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat dan polis mempunyai bukti seperti rakaman gambar kesalahan sebelum mengeluarkan saman berkenaan.

Sejak September 2009, pihaknya telah mengeluarkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pengguna jalan raya dan tempoh notis juga memadai untuk pesalah membayar sama bagi mengelak daripada disenarai hitam.
Abdul Aziz menjelaskan polis tidak bertindak melulu dalam menyenaraihitamkan seseorang individu yang diberikan saman ekor, sebaliknya polis membuat tindakan itu secara berperingkat.

"Sebelum kita senaraihitamkan, kita hantar notis peringatan meminta mereka memberi maklum balas tentang butiran pemandu yang melakukan kesalahan dalam saman ekor tersebut.

"Setelah menerima notis itu, mereka perlu memaklumkan kepada pihak polis butiran pemandu yang melakukan kesalahan itu dalam masa seminggu dan kemudiannya barulah polis boleh membuat tindakan susulan dengan memanggil atau memberi saman kepada pesalah sebenarnya," kata Abdul Aziz.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil ringan saman ekor kerana mereka akan berhadapan dengan masalah memperbaharui cukai jalan apabila nama dan kenderaan mereka disenaraihitamkan.

Mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 29 1 (A) Akta Pengangkutan Jalan, polis dan JPJ mempunyai kuasa untuk menyenaraihitamkan pengguna jalan raya yang tidak membayar saman pada dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat saman dikeluarkan. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger