Home » » Era Najib:Haram Ketika Ramadhan Sahaja, Umno 'Alim-Alim Kucing'

Era Najib:Haram Ketika Ramadhan Sahaja, Umno 'Alim-Alim Kucing'

Written By canang on Isnin, 9 Ogos 2010 | 8/09/2010 08:30:00 PTG

Exco Hal Ehwal Islam,Adat-adat Melayu,Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali menyifatkan saranan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omah supaya menutup pusat hiburan dan rumah urut pada Ramadhan sahaja, sebagai alim-alim kucing.

Dalam Islam, beliau berkata, perkara yang terang-terang haram itu tidak bergantung bulan tertentu sahaja.

Dr Hassan Ali berkata demikian selepas melancarkan Tabung Ehsan Ummah Selangor, di Dewan Banquet MBSA, Shah Alam.

"Tidak, Tidak. Haram ini dalam bulan Ramadhan pun haram, dalam 11 bulan yang lain pun haram. Itulah yang menunjukkan ceteknya pengetahuan agama Umno. Bulan Ramadhan nampak, konon-kononnya alim. Itu alim kucing, memanglah Umno ini alim kucing," katanya.

Bagi beliau, saranan Noh Omar itu jelas menunjukkan Umno iri hati dengan kejayaan Pakatan Rakyat yang berjaya membendung masalah sosial di Selangor.

Apatah lagi, masalah pusat hiburan dan rumah urut adalah warisan kerajaan Umno BN yang berakar umbi hingga sukar dibanteras.

"Dia cemburu tengok kita dalam masa dua tahun lima bulan sudah dapat redakan persoalan arak, redakan persoalan judi dan sebagainya. Hanya kita hendak sekarang ini, insyaAllah dengan sokongan dan dokongan serta komitmen semua pihak sama-sama memberi sokongan yang sangat positif.

"Beri kami masa lagi. Dua tahun lima bulan ini tidak cukup untuk menilai kita dan sepatutnya Noh buat kenyataan itu ditujukan kepada Najib dan Kabinet sebelum ditujukan kepada PAS," katanya.

Jumaat lalu, satu demonstrasi menyokong saranan Noh Omar supaya menutup semua pusat hiburan dan rumah urut pada bulan Ramadhan ini.

Dr Hassan kesal kerana saranan itu datangnya dari pimpinan parti yang bertanggungjawab membiak masalah sosial itu ketika asyik memegang tampuk kuasa.

"Kita baru mentadbir negeri Selangor. (Selama) 52 tahun mereka mentadbir sekarang ini kita hendak kikis saki baki Umno-BN, rumah pelacur Umno-BN, Arak Umno-BN.

"Apa yang kita buat sekarang? Arak misalnya, kita dapati seluruh kawasan Melayu di Shah Alam tidak lagi menjual arak. Ambil seksyen 8, misalnya kedai arak itu dekat dengan surau - dalam 100 meter sahaja zaman Umno nampaknya tak berubah tapi zaman kita, benda itu sudah tidak ada lagi.

"Cara kita lebih meresap dibandingkan dengan apa pun yang dibuat Umno. Dalam zaman Umno, yang terlarang itu bukan surut ataupun diketepikan tetapi makin membiak bercambah-cambah.

"Inilah dasar Umno-BN tetapi mereka mahu salahkan kita pula. 52 tahun nak lawan dua tahun lima bulan," katanya lagi.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger