Home »
» Bersih 2.0: Kenapa Polis Nak Sekat? -NikAziz
Bersih 2.0: Kenapa Polis Nak Sekat? -NikAziz
Written By canang on Isnin, 11 Julai 2011 | 7/11/2011 03:00:00 PTG
Nik Abdul Aziz Nik Mat (kanan) ketika menziarahi keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad di rumahnya di AU3 Dato Keramat, Kuala Lumpur petang tadi. — Foto oleh Jack Ooi
KL , 10 Julai 11: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan, turut mempersoalkan tindakan polis menyekat kebebasan demokrasi dengan menghalang Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) daripada mengadakan perhimpunan secara aman di ibu negara semalam menuntut satu sistem pilihan raya yang adil dan bersih.
“Kenapa polis nak sekat? Yang datang semalam adalah orang yang meminta pilihan raya yang bersih,” kata Mursyidul Am PAS selepas menziarahi keluarga Allaharham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia selepas menyertai perhimpunan Bersih 2.0 petang semalam.
Meneruskan sokongan kepada tuntutan Bersih 2.0, beliau hari ini berkata sejak menyertai pilihan raya lebih empat dekad lalu, beliau tidak pernah merasai satu persekitaran pilihan raya yang benar-benar bersih di negara ini.
“Saya nak ceritakan di sini, semenjak saya sertai pilihan raya dari tahun 1967 sehingga sekarang, saya tak pernah rasakan pilihan raya di Malaysia merupakan benar-benar pilihan raya.
“Kerana ada yang berasuah, ada ugutan. Macam kerja budak-budak,” kata Nik Aziz, yang turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa.
Nik Aziz yang kembali dari Mekah petang ini terus mengadakan kunjungan ke rumah Allahyarham Baharuddin, yang merupakan seorang ahli PAS. Selain itu, Nik Aziz yang merupakan ketua kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 menambah, Bersih 2.0 merupakan satu gabungan yang berusaha untuk mencari orang yang benar-benar layak menjadi pemimpin melalui pilihan raya.
“Kita nak pilihan raya yang bersih... jangan ada rasuah. Kalau dirasuah, menang pun tak boleh dibawa bekal ke syurga. Biarlah kita ini hidup berbeza dengan orang barat yang hidup semata-mata untuk dunia dan tidak memikirkan tentang akhirat,” ujarnya.
Susulan kepada Bersih 2007, Bersih 2.0 merancang mengadakan perhimpunan aman di ibu negara semalam dengan membawa lapan tuntutan pembaharuan pilihan raya. Bagaimanapun kerajaan tidak memberikan permit meskipun Bersih 2.0 telah memutuskan untuk membatalkan perhimpunan jalanan, sebaliknya diadakan di Stadium Merdeka.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata hanya sekitar 6,000 orang yang hadir pada perhimpunan Bersih 2.0. Bagaimanapun, gabungan itu mengisytiharkan himpunan itu berjaya menarik kehadiran 50,000 peserta di sebalik halangan dan sekatan di seluruh negara.
Seramai 1,401 orang ditahan termasuk 115 wanita, 12 budak lelaki dan seorang budak perempuan. Antara tahanan itu termasuklah empat pemimpinan tertinggi PAS iaitu presiden, timbalan presiden dan dua naib presiden.
Sementara itu, Sambil menyifatkan tanggal 9 Julai sebagai hari pembunuhan dan pengebumian demokrasi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan rakannya Salahuddin Ayub mahu membuat laporan polis mengenai tindakan polis menahan mereka di ibu negara, semalam. (IH)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
sya amat bersetuju dengan pandangan Dato tuan guru itu, sama-samalah kita bersatu mencari satu formula untuk mencabar keganasan yang di cetuskan olih, jiga ada bukti yang belih untuk mendakwa KDn. Ketua Polis dan Timbalan nya kerana menyeksa raayat yang ingin kan ketelusan, dalam pilihan raya. Malaysia bukan negara milik Polis .....
Catat Ulasan