Bawani menceritakan apa yang berlaku sewaktu beliau memberikan pandangan pada forum tersebut...
KAMPAR: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang mencetuskan fenomena listen berkata, penyebaran video tersebut menunjukkan kepada rakyat tentang usaha pihak tertentu untuk menarik sokongan mahasiswa di universiti dalam suasana PRU13 yang semakin hampir.
Menurutnya, program tersebut adalah salah satu agenda untuk brainwash mahasiswa supaya tidak memberi sokongan kepada pembangkang.
"Kini rakyat di seluruh Malaysia telah membuka mata dan mengetahui apa yang berlaku di dalam universiti," katanya kepada Harakahdaily yang bertemu beliau di kediamannya di Air Kuning, Kampar semalam.
Bawani menjelaskan, program yang diberi tajuk Forum Mahasiswa dan Politk itu membangkitkan pelbagai isu politik di negara ini khususnya melibatkan mahasiswa.
Program yang bermotif politik itu, katanya turut diisi dengan pelbagai video yang mengutuk pembangkang seperti Himpunan Bersih, isu kontroversi melibatkan Nurul Izzah dan Himpunan Hapus PTPTN.
Jelasnya, pelbagai isu telah diceritakan oleh panelis termasuklah mempertikai protes PTPTN oleh mahasiswa dan mengatakan tuntutan pendidikan percuma tidak masuk akal.
"Saya cuba bangun mencelah untuk memberikan pandangan tetapi tidak dilayan dan saya menunggu sesi soal jawab.
"Namun semasa sesi soal jawab saya tidak sempat kerana hanya dua soalan yang boleh ditanya dan saya mengambil keputusan ke pembesar suara dan memberikan pandangan berhubung apa yang dibangkitkan.
"Saya terus memberikan hujah-hujah terutama isu pendidikan percuma tetapi belum sempat menghabiskan ucapan, moderator yang juga Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin telah enggan memberi saya peluang untuk menghabiskan ucapan saya dengan mengatakan listen, listen, listen seperti yang dapat dilihat di video itu," jelasnya lagi.
Tegas beliau, ini adalah satu penindasan kepada mahasiswa yang berhak bersuara dan memberikan pandangan.
Bawani berkata, sepatutnya moderator memberi peluang kepadanya menghabiskan ucapan kerana ia berkaitan isu yang dibangkitkan.
Ketika ditanya apakah respons daripada rakan mahasiswa yang lain, beliau menjelaskan, pada mulanya semua memberikan respons negatif terhadap saya yang dilihat tidak respect kepada Sharifah Zobra.
Namun katanya, selepas menonton kembali video tersebut, rakan-rakan memberikan sokongan padu kepadanya dan melihat tindakan Sharifah seolah-olah menyekat suara mahasiswa.
Beliau yang diminta mengulas tentang video yang menjadi buah mulut masyarakat itu, Bawani sangat terkejut dengan sambutan tersebut dan menganggap ianya menggambarkan masyarakat prihatin dengan isu mahasiswa.
"Ketika ini saya mendapat panggilan tanpa henti daripada rakan-rakan terutama daripada UUM yang memberikan sokongan padu kepada saya," jelasnya.
Bawani secara peribadi berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan padu kepadanya dan berharap suara mahasiswa terus menjadi perhatian masyarakat. LAGI VIDEO DISINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan